Friday 12 October 2012

Pengalaman di Pengajian Baharu

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad dan ke atas Sahabat serta Keluarganya...

         Alhamdulillah dengan limpahan taufiq dan hidayahnNya dapat saya meluangkan sedikit masa ini untuk mengarang dan berkongsi ilmu serta pengalaman saya sepanjang berada di kolej yang dikasihi Kolej Islam As-Sofa. Namun adalah lebih manis sekiranya saya perkenalkan diri saya dahulu. Saya Khairi Hasbullah Bin Abu Hassan, baru lepasan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya (SEJAYA) dan kini melanjutkan pelajaran di Kolej Islam As Sofa.

         Cukuplah sekadar itu untuk pengenalan diri ini. Apa yang lebih penting adalah apa yang akan saya coretkan selepas ini iaitu pengalaman saya sepanjang berada di Kolej Islam As Sofa. Pengalaman yang saya perolehi di kolej ini adalah saya dititik beratkan dengan adab. Senja kini nilai-nilai murni seperti adab semakin pupus dan berkemungkinan akan lenyap di kalangan masyarakat lebih-lebih lagi di sisi remaja. Pelbagai adab yang kami pelajari di sini antaranya ialah Adab Dengan Guru dan Ulama', Adab Dengan Ibu Bapa, Adab Seorang Penuntut Ilmu dan banyak lagi.

         Saya rasakan nilai murni ini tiada lagi di sisi remaja-remaja kini yang dengannya keberkatan menuntut ilmu yang dipelajari semakin berkurangan. Di sekolah-sekolah sebagaimana yang diketahui ada diajarkan adab-adab ini namun praktikalnya tidak dapat dilakukan dan tidak dapat dirasai. Oleh yang demikian, tidak hairanlah kita lihat pada hari ini pelbagai masalah disiplin berlaku. Namun demikian bukan ini yang ingin saya perkatakan oleh itu sekiranya diberikan peluang dan ruang oleh Ilahi akan saya huraikan lebih berkenaan adab ini.

         Seterusnya, di sini saya berpeluang bertemu ulama'-ulama' dunia yang sangat hebat dan dimuliakan oleh Allah dari pelbagai Negara Islam. Antaranya ialah Syeikh Nafi' al A'rabi, Syeikh Usamah al Azhari, Habib Ali al Jufri dan ramai lagi yang semua ini adalah disebabkan jasa dan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada Syeikh yang juga merupakan Murabbi saya iaitu al Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin al Maliki. Disebabkan ini saya mendapat tausiah atau pesanan-pesanan serta berpeluang mendengar kalam daripada mereka.

         Selain itu, saya juga dapat merasai sebagaimana mereka yang belajar di pondok-pondok kerana pada setiap malam kami (pelajar kolej) akan bertalaqqi pelbagai kitab dengan Ustaz-ustaz yang hebat keilmuannya. Mereka belajar daripada ulama-ulama sejak mereka masih muda dan kini berkhidmat pula sebagai pendakwah. Antara kitab yang kami pelajari adalah Minhaj al A'bidin, Muniat al Musollin, Adab dan Doa Penuntut Ilmu dan banyak lagi.

         Tambahan pula, pengalaman yang saya dapati di kolej ini adalah belajar berkhidmat iaitu ringankan tulang membantu para ulama', pensyarah, kolej serta masyarakat. Dengan berkhidmat ini Allah akan permudahkan kita (penuntut ilmu) untuk belajar kerana dengan ini terdapatnya keberkatan. Pelbagai perkara yang boleh dilakukan antaranya ialah bergotong-royong membersihkan tempat pengajian, kawasan perumahan dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.

         Akhir sekali, saya dapat berqasidah, memuji Allah dan Rasulullah. pada setiap malam khususnya, sebelum bermulanya pengajian kami (pelajar kolej dan para ikhwan) beramai-ramai akan berqasidah untuk mengingatkan kami akan kehebatan dan kemuliaan Rasulullah. Ini menjadi amalan kami di sini kerana dalam berqasidah ini terdapatnya keberkatan dan futuh yang diberikan Allah.

         Sekadar ini sahajalah dulu perkongsian saya dengan para pembaca kerana kesuntukkan masa yang walaupun demikian tidak dapat saya nafikan terdapat banyak lagi pengalaman dan perkara baru yang saya pelajari di Kolej Islam As Sofa yang di kasihi ini. Semoga Allah terus melimpahkan nikmat kepada kami dan seluruh umat Islam kerana antara tujuan terbinanya kolej ini adalah untuk memartabatkan Islam di mata dunia ini. Wallahu A'lam.

1 comment:

  1. Hi <3 saya seronok baca pengalaman anda di kolej islam as sofa bestt sangattt ye

    ReplyDelete